UPSI perkukuh jejak global melalui penganjuran Global Educator Award | Madani News

UPSI perkukuh jejak global melalui penganjuran Global Educator Award

UPSI perkukuh jejak global melalui penganjuran Global Educator Award
Dr Zambry bergambar bersama 5 orang penerima anugerah Global Educator Award di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

**Tanjong Malim, – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah baharu apabila penganjuran sulung *Global Educator Award (GEA)* dan Great Teacher Summit berjaya menghimpunkan lebih 10,000 peserta dari lebih 50 negara, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir berkata, inisiatif itu bukan sahaja mengangkat reputasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung negara, malah mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan dunia dalam bidang pendidikan.

“UPSI dengan sejarah lebih 100 tahun sewajarnya mengambil peluang mengantarabangsakan nilainya,” katanya selepas menyampaikan anugerah pada majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.

Zambry berkata, penyertaan pendidik dari lebih 50 negara membuktikan kepakaran UPSI diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kementerian, katanya, akan meneliti bentuk sokongan baharu termasuk memperluaskan kategori anugerah pada tahun hadapan meliputi semua peringkat pendidikan – daripada prasekolah sehingga universiti.

“Mulai tahun hadapan, UPSI akan lebih meriah dengan acara antarabangsa seperti ini,” katanya sambil memberi jaminan kementerian akan terus mempromosikan program berkenaan sebagai agenda global.

Pemenang Dari Pelbagai Benua

GEA 2025 menyaksikan pengiktirafan lima kategori utama:

  • Inspiring Educational Leader – Madam Cheah Gaik Imm, SJKC Chung Hwa Langkawi, Malaysia
  • Community Outreach Educator Award – Prof. Julio Manuel Pereyra
  • Transforming Educational Institution Award – African Leadership Academy, Afrika Selatan
  • Esteemed Teacher Educator Award – Prof. Dr Pasi Sahlberg, University of Melbourne, Australia
  • Avant-Garde Teacher Award – Mr. Deep Narayan Nayak, “Teacher of the Streets”, India

Setiap trofi direka dengan tema warisan Malaysia seperti Pucuk Rebung, Ombak Laut, Benang Emas, Bunga Teratai dan Tampuk Manggis yang melambangkan pertumbuhan, tenaga dan perpaduan dalam dunia pendidikan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sebanyak 244 pencalonan daripada 57 negara diterima bagi edisi pertama ini dengan 16 finalis terbaik dipilih. Beliau menegaskan, keunikan GEA bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada pendidik dunia, tetapi juga menempatkan Malaysia secara kukuh di pentas global.

“Dengan lebih 10,000 peserta terlibat, anugerah ini bukan sahaja mengangkat martabat UPSI, malah turut mengharumkan nama Malaysia,” katanya. – MADANI NEWS