Spekulasi KJ kembali ke kabinet: Anwar main teka-teki: “Betul ke..siapa beritahu awak?”
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermain teka-teki apabila ditanya mengenai spekulasi Khairy Jamaluddin akan kembali menganggotai Jemaah Menteri pimpinannya.
“Betul ke…siapa beritahu awak?” soal Anwar ketika ditanya wartawan.
Kenyataannya menyusul laporan Malaysia Gazette mendakwa rombakan Jemaah Menteri mungkin berlaku awal bulan depan, dengan Khairy diramalkan dilantik menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Menurut laporan itu, rombakan berkenaan akan memfokuskan pengukuhan pasukan ekonomi kerajaan, mengurangkan saiz Jemaah Menteri dan memastikan kesinambungan dasar.
Ia turut mendakwa Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani dijangka ditukarkan ke portfolio pelaburan, perdagangan dan industri.
Menurut laporan itu lagi, Kementerian Ekonomi mungkin digabungkan bawah Kementerian Kewangan.
Perubahan lain yang mungkin berlaku termasuk kenaikan pangkat R Ramanan kepada menteri pembangunan usahawan dan koperasi susulan peletakan jawatan Presiden Upko Ewon Benedick baru-baru ini, selain pelarasan di peringkat timbalan menteri.
Rombakan terbaharu diperlukan bagi mengisi dua kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli (hal ehwal ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (sumber asli dan kelestarian alam), yang meletak jawatan selepas kalah pemilihan PKR Mei lalu.
Portfolio hal ehwal ekonomi kini dipangku Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, manakala Johari memangku portfolio sumber asli dan kelestarian alam. – MADANI NEWS
