10 bangunan ikonik disinari cahaya Jalur Gemilang rai sambutan Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027
KUALA LUMPUR, 19 Dis — Sebanyak 10 bangunan ikonik di empat negeri bakal bermandi cahaya Jalur Gemilang bermula malam esok sempena upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), sekali gus menandakan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada 2027.
Upacara penyerahan bendera itu akan berlangsung semasa majlis penutup Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok, dengan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dr Norza Zakaria dijadual menerima bendera SEAGF sebagai simbolik rasmi penggiliran tuan rumah.
Bersempena detik bersejarah itu, bangunan ikonik di Kuala Lumpur, Kuching, Johor Baharu dan Pulau Pinang akan disinari pancaran warna merah, kuning, biru dan putih bermula jam 7 malam. Antara lokasi terlibat ialah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Menara DBKL, KOMTAR, Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), Jambatan Sultan Abdul Halim, Jambatan Satok, Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Darul Hana Musical Fountain Kuching serta kawasan sekitar Iskandar Puteri, Johor.
Stadium Nasional Bukit Jalil, antara gelanggang sukan paling ikonik negara, turut akan dihiasi pencahayaan khas sempena sambutan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Abdul Rashid Yaakub berkata, komitmen yang ditunjukkan keempat-empat negeri penganjur itu mencerminkan keterujaan dan kesediaan Malaysia menjelang penganjuran temasya sukan dwitahunan berprestij tersebut.
“Pencahayaan bangunan dengan warna Jalur Gemilang ini merupakan simbolik kepada sambutan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh. Kita mahu peminat sukan dan seluruh rakyat Malaysia turut merasai keterujaan dan kegembiraan menyambut temasya ini,” katanya.
Selain pencahayaan bangunan, skrin LED di lokasi strategik empat bandar raya terbabit turut memaparkan grafik khas sempena penggiliran Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.
Malaysia juga akan terlibat dalam persembahan penutup Sukan SEA Thailand 2025 menerusi penampilan tiga artis tempatan, iaitu Mimi Fly, Amir Jahari dan Marsha Milan, bersama 60 penari pelbagai etnik. – MADANI NEWS
