Bersejarah! Malaysia takluk Thailand selepas tunggu 34 tahun untuk emas regu sepak takraw di Sukan SEA
KUALA LUMPUR: Malaysia mencipta detik manis menamatkan kemarau 34 tahun emas acara regu berpasukan lelaki sepak takraw Sukan SEA, selepas menumpaskan Thailand dalam aksi penuh debaran di Nakhon Pathom, sebentar tadi.
Permulaan perlawanan ternyata mencabar apabila regu pertama negara, Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas tipis kepada trio Thailand, Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon.
Kekalahan itu tidak mematahkan semangat pasukan Malaysia, sebaliknya menjadi pemangkin untuk bangkit dalam regu kedua.
Regu kedua negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam menunjukkan kebangkitan luar biasa, menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Regu ketiga, Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi, memastikan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Kritnasanapong Nontakote, Varayut Jantarasena dan Wuttinun Kamsanor, sekali gus membawa pulang pingat emas.
Kemenangan 2-1 itu menamatkan penantian Malaysia dalam acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA dan mengukuhkan dominasi negara dalam sukan sepak takraw.
Sorakan ribuan penyokong Thailand di venue tidak mematahkan semangat pemain Malaysia, yang mempertontonkan aksi mantap dan mengawal permainan hingga wisel penamat.
Kejayaan anak buah jurulatih Ahmad Jais Baharun ini menjadi bukti bahawa Malaysia kekal antara kuasa besar sepak takraw Asia Tenggara. – MADANI NEWS
