JDT menang Piala FA, Johor isytihar cuti peristiwa esok
KERAJAAN Negeri Johor mengisytiharkan esok sebagai cuti khas peristiwa bagi seluruh negeri itu sempena kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2025 dengan menewaskan Sabah FC 5-0 pada perlawanan akhir, malam ini.
Menerusi kenyataan yang di Facebook beliau, Onn Hafiz berkata pengisytiharan itu dibuat bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, sebagai meraikan kejayaan gemilang pasukan tersebut yang terus mengekalkan dominasi dalam arena bola sepak tanah air.
“Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada esok akan diteruskan seperti biasa bagi memastikan persiapan calon serta kelancaran tugasan semua petugas peperiksaan tidak terjejas.
“Kejayaan menjuarai Piala FA 2025 sekali lagi membuktikan keunggulan dan konsistensi JDT sebagai kuasa utama bola sepak negara, hasil komitmen tinggi barisan pemain, pasukan kejurulatihan serta pengurusan yang sentiasa beriltizam mengekalkan standard kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas kepimpinan, iltizam serta usaha berterusan baginda dalam memartabatkan bola sepak Johor hingga JDT terus melakar kejayaan, termasuk di peringkat antarabangsa.
“Penghargaan ini turut dizahirkan kepada seluruh Bangsa Johor yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada JDT, dengan harapan kejayaan ini menjadi dorongan berterusan untuk pasukan terus mengekalkan prestasi cemerlang serta mengharumkan nama Johor di pentas dunia,” katanya.
Terdahulu, dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, JDT menewaskan Sabah FC 5-0, sekali gus menjadi pasukan pertama merangkul trofi Piala FA buat kali keempat berturut-turut.
