DUN Melaka bubar: Apa yang perlu diketahui menjelang PRN ke-16
KUALA LUMPUR: Melaka bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan berkuat kuasa esok.
Pengumuman pembubaran itu dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, hari ini.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri ketika ini dijadual berakhir pada 27 Disember depan.
PRN Melaka 2021
Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada 20 November 2021, Barisan Nasional (BN) menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Walaupun BN membentuk kerajaan negeri, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH kemudiannya dilantik menganggotai barisan Exco kerajaan negeri, selari dengan konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Lima ADUN PH tarik diri
Namun, landskap politik Melaka berubah apabila lima ADUN PH pada 16 Julai lalu mengumumkan keputusan menarik diri daripada kerajaan negeri.
Keputusan itu dibuat selepas mereka menolak cadangan pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN lantikan.
Dengan pembubaran DUN, perhatian kini terarah kepada bentuk kerjasama parti-parti politik bagi menghadapi PRN kali ini.
Setakat ini, BN, PH dan PN belum mengumumkan secara rasmi gabungan atau bentuk kerjasama yang akan digunakan dalam pilihan raya berkenaan.
BN-PN bakal bekerjasama?
BN dijangka mengadakan kerjasama atau persefahaman dengan PN, susulan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, baru-baru ini yang membayangkan persefahaman antara kedua-dua gabungan itu hampir pasti berlaku di Melaka.
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka, semalam berkata gabungan itu akan mengemukakan surat rasmi kepada parti-parti politik berkaitan bagi membincangkan tawaran kerjasama strategik.
Bagaimanapun, BN Melaka sebelum ini menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021.
PH-Bersatu pula?
Dalam masa sama, terdapat desas-desus mengenai kemungkinan PH bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, bagaimanapun berkata sebarang kerjasama masih belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil perbincangan di peringkat negeri.
Beliau turut meminta BN menyatakan pendirian sekiranya tidak berminat untuk bekerjasama dengan PH supaya parti itu dapat meneruskan persiapan menghadapi PRN.
Komposisi 28 kerusi DUN Melaka
BN – 21 kerusi
N01 Kuala Linggi
N02 Tanjung Bidara
N03 Ayer Limau
N04 Lendu
N05 Taboh Naning
N06 Rembia
N07 Gadek
N08 Machap Jaya
N09 Durian Tunggal
N10 Asahan
N12 Pantai Kundor
N13 Paya Rumput
N14 Kelebang
N15 Pengkalan Batu
N18 Ayer Molek
N21 Duyong
N23 Telok Mas
N25 Rim
N26 Serkam
N27 Merlimau
N28 Sungai Rambai
PH – 5 kerusi
N16 Ayer Keroh
N17 Bukit Katil
N19 Kesidang
N20 Kota Laksamana
N22 Bandar Hilir
PN – 2 kerusi
N11 Sungai Udang
N24 Bemban
Dengan pembubaran DUN, PRN Melaka ke-16 kini memasuki fasa penting apabila parti-parti politik perlu memuktamadkan calon, agihan kerusi serta bentuk kerjasama sebelum berdepan pengundi.
