RM409 juta dibeku, disita berkait siasatan ‘mafia korporat’, kata Saifuddin
MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta dan 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta dibeku atau disita melibatkan siasatan dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’.
PETALING JAYA: Polis merampas aset bernilai lebih RM409 juta dalam siasatan dakwaan ‘mafia korporat’ melibatkan penyalahgunaan kuasa menekan ahli perniagaan menjual saham syarikat pada harga di bawah pasaran.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta dan 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta dibeku atau disita sebagai sebahagian siasatan.
Saifuddin berkata, polis turut membekukan atau menyita lapan hartanah, 11 kenderaan, dan 417 akaun sistem depositori pusat (CDS).
Pihak berkuasa juga telah merakam kenyataan 70 individu dan menahan beberapa individu berhubung siasatan tersebut.
“Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti terlibat atau dipanggil untuk membantu siasatan jenayah korporat,” katanya.
Beliau menjawab menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai skop dan status siasatan polis terhadap dakwaan ‘mafia korporat’, termasuk pembabitan pegawai SPRM atau agensi penguatkuasaan lain serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Awal tahun ini, laporan Bloomberg mendakwa pegawai ada pegawai SPRM menjadi sebahagian ‘mafia korporat’ yang menyediakan ‘perkhidmatan’ berbentuk gertakan seperti serbuan dan siasatan bagi menekan eksekutif menjual saham dalam syarikat sasaran.
Ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, menepis laporan berkenaan.
Pada 20 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata satu pasukan petugas khas pelbagai agensi diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan itu.
Anwar berkata, pasukan petugas itu melibatkan SPRM, polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan unit penguatkuasaan antipembersihan wang haram, dengan dapatannya akan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan. – MADANI NEWS
