Kedah juga akan haramkan vape, tidak sambung lesen jualan mulai tahun ini – Sanusi

KEDAH tidak akan menyambung pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik atau vape, yang dikhuatiri turut menjadi satu alat untuk penyalahgunaan dadah.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri semalam, perbincangan turut menyentuh berkaitan penggunaan vape sebagai medium penyalahgunaan dadah sintetik.
“Ada pihak mengambil kesempatan menjual dadah sintetik dalam bentuk cecair yang boleh dihisap menggunakan vape.
“Menghalang jualan vape merupakan satu jalan untuk mengekang penyalahgunaan dadah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini, memetik laporan Bernama.
Terdahulu, media melaporkan Perlis mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape mulai 1 Ogos.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, langkah itu diambil berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 2022, mengharamkan penggunaan vape.
Sanusi bagaimanapun berkata, tindakan mengharamkan sepenuhnya penjualan vape di Kedah tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
“Lesen sedia ada kena matikan dulu sebab pernah ada kes mahkamah untuk kes lain … Takut ada kelompangan terlepas pandang, kita akan disaman,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap larangan jualan vape termasuk di kedai runcit juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula tahun depan, selepas tiada lagi lesen jualan disambung.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews