Siti Nur Aminah rangkul dua kejuaraan Allianz Junior Badminton Championship 2025

PEMENANG Grand Final Allianz Junior Badminton Championship (AJBC) tahun lepas, Siti Nur Aminah membuktikan keunggulannya sekali lagi dengan memenangi kategori Perseorangan dan Beregu Perempuan bawah 15 tahun dalam Pusingan Kelayakan 1 AJBC 2025 yang berlangsung di Klang baru-baru ini.
Siti Nur Aminah dari SMK Bukit Sentosa 2 yang memenangi perseorangan dan beregu perempuan bawah 13 tahun pada AJBC Grand Finals 2024, meneruskan prestasi cemerlangnya dalam tahun 2025 dengan menewaskan G. Thanisha dari SMK Subang Jaya dalam perlawanan akhir perseorangan perempuan dan bergandingan dengan Chu Jing Xuan dari SMK Convent Klang untuk mengungguli gelaran juara beregu perempuan.
Seorang lagi pemain yang kerap menyertai kejohanan AJBC, Wong Wei Shen dari Regent International School Klang hampir mencatatkan kemenangan dalam kategori Perseorangan dan Beregu Lelaki bawah 15 tahun, tetapi kecundang pada peringkat akhir bagi kategori beregu lelaki bersama gandingan tetapnya Ian Yee dari Tenby International School kepada Javier Ng dari SMK Bandar Baru Sungai Long dan Soh Jiang Yee dari SMJK Chung Hwa Klang. Sebelum perlawanan akhir beregu lelaki, beliau telah mengalahkan Jiang Yee dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki.
Sejumlah 334 pemain mengambil bahagian dalam kejohanan ini yang merupakan pusingan kelayakan pertama dari 10 pusingan kelayakan AJBC 2025 yang akan berakhir pada Grand Final di akhir tahun ini.
Pusingan Grand Finals AJBC 2025 akan menampilkan finalis bawah 13 dan bawah 15 tahun dari semua pusingan kelayakan dan akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 5–9 November. Setiap pusingan akan menyaksikan 24 pemain layak ke pusingan akhir. Pemain bawah umur 11 Tahun tidak akan mara ke pusingan akhir AJBC.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pemain yang menyertai pusingan kelayakan AJBC tidak perlu membayar sebarang yuran masuk. Tiga pemenang teratas dalam pusingan kelayakan bagi semua kategori umur akan memenangi hadiah wang tunai sejumlah RM500, RM300 dan RM150 (bagi kategori perseorangan) dan RM600, RM400 dan RM200 (bagi kategori beregu). Juara, naib juara dan tempat ketiga di Grand Final akan memenangi hadiah wang tunai RM1,000, RM600 dan RM300 (bagi kategori perseorangan) dan RM1,200, RM800 dan RM400 (bagi kategori beregu).
Pendaftaran pusingan kelayakan 3 di Johor akan bermula dari 27 Mei dan kejohanan AJBC disokong oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Untuk maklumat lanjut dan kepada mereka yang berminat untuk menyertai AJBC, sila layari www.allianz.com.my/ajbc
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews