Dakwaan pengubahan wang haram: Panglima Tentera Darat bercuti hingga siasatan selesai
KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, telah bercuti serta-merta bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan tertentu yang dilaporkan membabitkan beliau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara lancar dan telus tanpa sebarang konflik kepentingan.
“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan siasatan berjalan dengan baik dan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, mendakwa seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.
Susulan dakwaan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pada Selasa lalu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dengan siasatan memfokuskan kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Menurut hasil siasatan awal SPRM, dari tahun 2023 hingga 2025, perolehan Tentera Darat yang bernilai melebihi RM500,000 melibatkan 158 projek, manakala perolehan bernilai di bawah RM500,000 membabitkan 4,521 projek.
Semakan awal juga mendapati terdapat beberapa syarikat yang kerap memperoleh projek bernilai tinggi, sekali gus menimbulkan keraguan dan memerlukan penelitian lanjut.
Setakat 24 Disember lalu, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berkaitan perolehan projek Tentera Darat.
— BERNAMA
