Kanak-kanak 6 tahun perlu lulus saringan diagnostik sebelum dibenarkan masuk Tahun 1
PETALING JAYA: Kanak-kanak berusia enam tahun yang ingin memulakan persekolahan di Tahun 1 perlu lulus saringan diagnostik ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM), selain diwajibkan mengikuti pendidikan prasekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata saringan itu bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan pembelajaran serta kebolehsuaian kanak-kanak terhadap sistem pembelajaran formal.
Menurutnya, keputusan saringan diagnostik KPM bersama persetujuan ibu bapa secara sukarela akan menjadi penentu sama ada kanak-kanak enam tahun layak memasuki Tahun 1.
“Kanak-kanak yang memulakan Tahun 1 pada usia enam tahun juga perlu mengikuti prasekolah ketika berusia lima tahun,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Fadhlina menjelaskan, struktur persekolahan bagi murid yang memulakan Tahun 1 pada usia enam tahun tidak berubah dan masih berlangsung selama enam tahun seperti biasa.
“Sepanjang tempoh tersebut, perkembangan murid akan dipantau oleh pihak sekolah dan sokongan pembelajaran yang bersesuaian akan diberikan bagi membantu mereka menyesuaikan diri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan KPM sedang membuat persediaan rapi bagi pelaksanaan dasar itu, termasuk menambah bilangan kelas prasekolah di seluruh negara.
“Perancangan juga sedang dilaksanakan untuk menyediakan bilik darjah tambahan serta prasarana lain secara bersasar. Keperluan tambahan guru turut ditangani secara proaktif,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan ibu bapa dibenarkan mendaftarkan anak ke Tahun 1 seawal usia enam tahun bermula tahun depan, bagi memberi peluang pendidikan lebih awal kepada kanak-kanak yang sudah bersedia.
Berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, Anwar turut memaklumkan pendaftaran prasekolah boleh dibuat seawal usia lima tahun.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemasukan awal itu tidak diwajibkan kerana mengambil kira kemungkinan sesetengah ibu bapa berpendapat anak mereka belum bersedia dari segi perkembangan dan emosi. – MADANI NEWS
