SPRM tempatkan skuad taktikal khas kawal majlis dihadiri Azam Baki
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengetatkan kawalan keselamatan pada satu acara yang dihadiri ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki hari ini, dengan mengerahkan skuad taktikal khas susulan insiden protes minggu lalu.
Sinar Harian melaporkan anggota skuad taktikal khas SPRM ditempatkan di setiap pintu masuk Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre di Kajang.
Menurut akhbar itu, acara yang bermula pada 8.30 pagi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Majlis itu turut dihadiri ahli Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah serta pegawai kanan SPRM.
Langkah keselamatan tersebut turut dibantu oleh polis bantuan dan polis.
Difahamkan kawalan keselamatan yang dipertingkatkan itu bagi mengelakkan berulangnya insiden yang berlaku semasa satu acara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 7 April.
Dalam kejadian itu, beberapa aktivis mengadakan ‘protes senyap’ ketika Azam sedang menyampaikan ucapan di program Wacana Ilmiah Perdana.
Kira-kira enam minit selepas ucapan Azam bermula, seorang aktivis yang memegang sepanduk muncul di hadapan pentas tempat ketua SPRM itu berucap.
Seorang lagi muncul dari belakang beberapa saat kemudian dengan membawa sepanduk menggesa penahanan Azam, dipercayai berkaitan kes pegangan saham.
Seramai tiga aktivis – Presiden Liga Rakyat Demokratik, Hamdin Nordin; aktivis Liga Mahasiswa Malaysia, Ahsanul Akmal Sulam; dan penyelaras Mandiri, Fakrurrazzi Khairur Rijal ditahan.
