Perubahan iklim, cuaca ekstrem ancam kestabilan ekonomi Malaysia – Bank Dunia
MALAYSIA semakin terdedah kepada perubahan iklim dengan cuaca ekstrem yang lebih kerap, peningkatan suhu dan paras laut, yang mana trend itu mengancam kestabilan ekonomi dan kewangan, memberi tekanan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur, menjejaskan keterjaminan makanan dan produktiviti di seluruh negara, demikian menurut Bank Dunia.
Dalam Laporan Pembangunan dan Iklim Negara Malaysia (CCDR), Bank Dunia berkata perubahan corak cuaca meningkatkan risiko bencana dan menimbulkan keperluan untuk memperkukuh daya tahan, terutamanya melalui pengurusan air yang mampan, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pelaburan dalam infrastruktur yang berdaya tahan iklim.
“Dasar iklim yang bercita-cita tinggi mungkin menjejaskan daya saing buat sementara waktu, tetapi kegagalan untuk nyahkarbon apabila pasaran global berkembang membawa risiko yang jauh lebih besar iaitu menghakis hasil eksport dan mengancam kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.
“Dasar pembangunan dan iklim yang tegas dan bersepadu bukan saja mesra alam, malah ia adalah asas cita-cita Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan,” menurut laporan itu.
Bank Dunia berkata, Malaysia perlu bertindak segera dalam menangani perubahan iklim bagi menyokong aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi memandangkan kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
Menurutnya, tanpa langkah penyesuaian, peningkatan suhu dan cuaca ekstrem boleh mengurangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 16 peratus menjelang 2050.
Malah, tambahnya, dengan kejutan iklim yang berlarutan menyebabkan kerugian KDNK melebihi 20 peratus.
Ia berkata, selama lebih tiga dekad Malaysia bergelut dengan perangkap pendapatan sederhana berbanding Korea Selatan dan Singapura.
“Walaupun pertumbuhan awal mengagumkan, Malaysia banyak bergantung pada pemacu tradisional iaitu pertambahan tenaga buruh, pelaburan infrastruktur dan aliran masuk modal asing.
“Namun, pemacu utama kemakmuran jangka panjang iaitu produktiviti, inovasi dan pembangunan teknologi tempatan masih belum cukup kukuh,” katanya.
Menurut Bank Dunia, kekangan struktur seperti pelaburan rendah dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kekurangan bakat mahir serta kebergantungan kepada industri nilai sederhana terus mengehadkan keupayaan negara untuk melonjak dalam rantaian nilai global.
Selain itu, ia berkata, kebergantungan kepada teknologi import, isu tadbir urus serta ketidakpadanan antara sistem pendidikan dan keperluan industri turut menjadi halangan kepada pertumbuhan mampan.
“Justeru, Malaysia disaran merombak semula model pertumbuhan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu produktiviti, inovasi dan kelestarian.
“Ini termasuk melaksanakan reformasi berani dalam pasaran buruh dan produk, menarik pelaburan dalam teknologi baharu serta memperkukuh dasar perdagangan dan perindustrian,” katanya.
Bank Dunia berkata, membina ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim bukan saja tindakan penting yang strategik, tetapi langkah sedemikian juga mampu membantu golongan rentan.
Menurutnya, mereka yang menderita akibat perubahan iklim seperti bencana banjir, gelombang haba dan peningkatan kos sara hidup akan mendapat manfaat paling banyak daripada model pembangunan yang lebih mampan dan inklusif.
Katanya, peralihan yang adil dapat menjana pekerjaan berkualiti tinggi, mengurangkan perbelanjaan isi rumah utama dan memperkukuh perlindungan sosial yang disasarkan, terutamanya untuk pekerja dalam industri yang mengalami perubahan struktur.
“Walaupun visi jangka panjang Malaysia dinyatakan dengan baik dalam rancangan lima tahun berturut-turut dan melalui rundingan awam, cabaran sebenar terletak pada pelaksanaannya.
“Menyampaikan visi ini memerlukan pembaharuan praktikal, kemahuan politik yang berterusan, penyelarasan merentasi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta komitmen yang jelas untuk menggabungkan cita-cita dengan tindakan,” katanya.
