Pelajar asnaf cemerlang jangan terhenti cita-cita kerana kekangan kewangan, YIF sedia membantu
KECERMALANGAN akademik pelajar daripada keluarga asnaf dan fakir miskin tidak seharusnya terhenti hanya disebabkan kekangan kewangan, kata Yayasan Imanul Fa’izin (YIF).
Sehubungan itu, YIF tampil membantu pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi serta asasi.
Menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan Laptop, Biasiswa dan Tunai, pelajar terbabit menerima bantuan berupa komputer riba, biasiswa dan sumbangan tunai bagi meringankan keperluan awal mereka sepanjang melanjutkan pengajian.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), sebagai usaha memperkukuh sokongan pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan yang mempunyai potensi akademik tinggi.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIF, Fawaz Abdul Hamid Dahlan
YIF dalam kenyataannya berkata, bantuan itu diharap dapat memberi keyakinan kepada penerima untuk memulakan fasa baharu pendidikan mereka tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.
“Bantuan hari ini bukan sekadar meringankan beban, tetapi merupakan satu bentuk pelaburan terhadap masa depan generasi yang bakal mengubah kehidupan keluarga mereka,” menurut kenyataan itu.
Selain bantuan pendidikan, program berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan kepada pelajar serta bakul makanan, selain cenderahati kepada rakan strategik yang bersama-sama menjayakan inisiatif tersebut.
Menurut YIF, kejayaan seorang pelajar bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya, malah mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan keluarganya apabila mereka berjaya melanjutkan pengajian dan memperoleh kerjaya yang lebih baik.
YIF berkata kerjasama antara yayasan, institusi zakat dan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan pelajar berpotensi daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir atau terhalang daripada mengejar cita-cita.
“Para penerima diharap terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik, seterusnya menggunakan peluang yang diberikan untuk membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu. – MADANI NEWS

