Kami tak akan khianati PKR, hanya letak jawatan – Nik Nazmi

AHLI Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyangkal dakwaan bahawa dia dan bekas rakan sejawatnya, Datuk Seri Rafizi Ramli akan mengkhianati PKR.
Ini susulan tindakan kedua-dua ahli politik itu mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai menteri semalam, selepas tewas dalam pemilihan parti itu.
“Kami letak jawatan. Kami tak akan khianat parti,” katanya ringkas menerusi satu hantaran di X petang tadi, memetik laporan Malaysiakini.
Kenyataan itu hadir di tengah cakap-cakap dalam PKR yang mendakwa Rafizi dan pemimpin yang menyokongnya akan berpaling tadah.
Antara tuduhan itu termasuk dakwaan bahawa beberapa ahli Parlimen yang berpihak kepada Rafizi akan menarik balik sokongan mereka terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang – yang turut dinamakan sebagai antara “pengkhianat” berpotensi – menyangkal tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai mengarut.
Minggu lalu, Rafizi tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden manakala Nik Nazmi tersingkir daripada kelompok naib presiden dalam pemilihan parti itu.
Anwar sebelum ini menyatakan tidak akan melakukan rombakan kabinet berdasarkan keputusan pemilihan parti.
Namun begitu, Rafizi berpendapat keputusan itu dibuat bagi mempertahankan prinsip.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin yang sehaluan dengan Rafizi, Fahmi Zainol, mengambil pendekatan berbeza.
Fahmi – yang merupakan ahli Exco Pulau Pinang – berkata dia tidak akan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri walaupun tewas dalam pemilihan PKR di peringkat pusat dan cabang.
“Apabila saya dilantik, saya mesti menamatkan tempoh perkhidmatan.
“Saya akan menunaikan tanggungjawab itu. Saya tiada rancangan untuk meletak jawatan,” katanya seperti dilaporkan FMT hari ini.
Fahmi gagal menduduki Jawatankuasa Pimpinan Pusat PKR dan tewas bagi jawatan ketua cabang PKR Jelutong.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews