Pertandingan 3 penjuru Timbalan Presiden PKR? Saifuddin ‘tunggu dan lihat’, Nurul Izzah hargai sokongan akar umbi

DESAKAN semakin kuat terhadap Nurul Izzah Anwar untuk menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR apabila nama beliau terus disebut oleh pelbagai lapisan kepimpinan akar umbi sebagai calon yang mampu menyatukan dan menyegarkan semula parti reformasi itu.
Walaupun belum membuat keputusan muktamad, Nurul Izzah menzahirkan rasa terharu atas sokongan yang diterima, menyifatkannya sebagai satu amanah besar yang menuntut pertimbangan mendalam.
“Setulusnya, saya menghormati lagi menghargai pandangan akar umbi… keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbang bukan sahaja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pemilihan PKR kali ini dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Mei, dan kerusi Timbalan Presiden dilihat sebagai antara yang paling hangat dipertandingkan.
Penyandang, Rafizi Ramli, telah mengesahkan akan mempertahankan jawatan tersebut dengan alasan mengelakkan perpecahan dalam parti. Dalam masa yang sama, satu lagi nama berpengaruh turut disebut – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan bekas Setiausaha Agung PKR dan kini Menteri Dalam Negeri.
Beliau sebelum ini turut dicadangkan oleh beberapa pemimpin parti sebagai calon alternatif yang mampu menstabilkan parti dengan pengalaman pentadbirannya.
Sokongan terhadap Nurul Izzah pula dilihat lebih sentimental dan idealistik – mewakili gelombang pembaharuan serta kesinambungan semangat reformasi yang telah lama menjadi asas perjuangan PKR.
“Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan PKR secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah,” kata Nurul Izzah, memberikan bayangan bahawa beliau masih meneliti lanskap politik dan impaknya terhadap kesatuan parti.
Ketika tiga nama besar kini berada dalam radar – Rafizi, Saifuddin dan Nurul Izzah – pemilihan kali ini dijangka menjadi titik penting dalam menentukan hala tuju PKR, sama ada kekal dengan pendekatan sedia ada, kembali kepada asas reformasi, atau melangkah ke fasa kepimpinan baru yang lebih inklusif.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews