Rafizi alu-alukan saingan, akui pernah rancang berundur dari Kabinet

TIMBALAN Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk berdepan cabaran dalam pemilihan parti kali ini, termasuk daripada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah Anwar yang dikatakan berminat untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu.
Menurut Rafizi, hasrat untuk bertanding mana-mana jawatan adalah hak setiap ahli dan wajar diraikan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat dalam KEADILAN. Beliau menyifatkan pertandingan ini sebagai ruang untuk mengukuhkan parti dan membina semangat berpasukan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rafizi turut mendedahkan bahawa beliau sebenarnya telah menyatakan kesediaan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Saifuddin sendiri untuk tidak bertanding semula jawatan Timbalan Presiden serta melepaskan jawatan Kabinet bagi memberi tumpuan penuh kepada kerja parti.
Katanya, keputusan itu lahir daripada kebimbangan terhadap pendekatan kempen kerajaan yang dianggap terlalu bertahan (defensif) dan tidak menyerang (offensif) seperti ketika KEADILAN berada di pihak pembangkang dahulu.
“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU16. Kedudukan saya sebagai menteri menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas,” jelas Rafizi.
Beliau berkata, selepas perbincangan empat mata dengan Anwar sebanyak dua kali dan sekali dengan Saifuddin, kedua-dua pemimpin itu berpandangan bahawa beliau perlu terus kekal dalam Kabinet dan bertanding jawatan Timbalan Presiden.
“Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya.
Rafizi turut menjelaskan keputusan beliau bercuti selama seminggu dari tugas rasmi menteri adalah untuk memberi tumpuan penuh terhadap isu-isu pemilihan parti yang mencetuskan pelbagai aduan dan kontroversi di peringkat cabang.
Menurutnya, keputusan bercuti itu dibuat bagi membolehkan beliau turun padang berjumpa dengan calon-calon yang membuat aduan, mendengar pandangan mereka, dan memastikan proses pemilihan ditangani dengan harmoni.
Beliau memaklumkan, audit bebas telah dijalankan ke atas sistem pemilihan digital parti dengan kehadiran pemerhati teknikal daripada calon-calon bertanding, dan hasilnya telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP).
“Saya percaya kedua-dua pandangan dari laporan-laporan ini boleh memberi konteks keseluruhan kepada pelbagai isu yang timbul. Apa pun kesimpulan dibuat, saya menyeru supaya anggota-anggota parti merapatkan saf dan memberi tumpuan mengukuhkan parti,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Rafizi menegaskan apa jua keputusan pemilihan nanti, beliau akan terus menyumbang kepada parti — sama ada sebagai Timbalan Presiden yang berada dalam kerajaan, atau sebagai pemimpin akar umbi yang bebas berkempen menjelang PRU16.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews