Ahmad Shabery Cheek dilantik semula terajui FELDA

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah dilantik semula sebagai Pengerusi FELDA.
Ahmad Shabery menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui FELDA.
Pengurusan dan seluruh warga Kumpulan FELDA menyambut baik pelantikan semula ini dan yakin bahawa pengalaman, wawasan serta komitmen tinggi Ahmad Shabery akan terus membawa Kumpulan FELDA melangkah lebih jauh seiring dengan hasrat Malaysia MADANI.
Kontrak Ahmad Shabery ditamatkan akhir bulan lepas selepas dua tahun beliau menerajui agensi pembangunan tanah terbesar negara itu, yang disifatkan sebagai fasa penting dalam usaha memulihkan keyakinan terhadap FELDA.
Ahmad Shabery yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem antara FELDA dan anak-anak syarikatnya sepanjang tempoh bersama agensi itu.
Sepanjang kepimpinannya, Ahmad Shabery turut memperkenalkan gagasan ‘Segalanya FELDA’ – pendekatan holistik yang menjadikan penyatuan organisasi dan komuniti peneroka sebagai teras utama dalam merencana masa depan FELDA. – MADANINEWS