Emma Maembong nafi ‘rehearsal’ kahwin, hanya gayakan busana ikut tema majlis | Madani News

Emma Maembong nafi ‘rehearsal’ kahwin, hanya gayakan busana ikut tema majlis

Emma Maembong nafi ‘rehearsal’ kahwin, hanya gayakan busana ikut tema majlis
TANGKAP layar IG Emma Maembong

PETALING JAYA – Kecoh seketika di media sosial apabila pelakon popular, Emma Maembong, 33, muncul bersama DJ Kidd dalam sebuah majlis baru-baru ini dengan mengenakan busana ala pengantin. Ramai yang menyangka pasangan itu sedang menjalani ‘rehearsal’ untuk majlis kahwin mereka.

Namun, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail pantas menepis dakwaan itu, menjelaskan apa yang dipakai hanyalah mengikut tema acara berkenaan.

“Tak baik orang fitnah saya. Malam itu memang temanya busana tradisional perkahwinan. Semua orang hadir berpasangan, jadi bila saya datang dengan DJ Kidd terus orang buat andaian saya nak kahwin. Mana ada orang rehearsal kahwin di tempat awam,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana episod akhir drama Seandainya Kita di Shah Alam, malam Jumaat lalu, lapor MStar

Menurut Emma, kehadirannya bersama DJ Kidd bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan. Baginya, ia hanya kebetulan yang menepati tema majlis.

“Nak kata terlalu terbuka tu tidaklah… biasa-biasa saja. Saya pun dah berusia, cerita saya dah tak hangat macam dulu,” katanya sambil ketawa kecil.

Spekulasi hubungan Emma dengan DJ Kidd sebenarnya sudah mula berputik sejak beberapa bulan lalu apabila kedua-duanya dilihat sering menghadiri acara hiburan bersama. DJ Kidd, yang dikenali dalam dunia muzik sebagai deejay popular kelab hiburan sekitar ibu kota, pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti tempatan. Namun, Emma sebelum ini lebih memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan rasmi mengenai status hubungan mereka.

Walaupun Emma sudah lama ‘move on’ daripada kisah rumah tangga lamanya, peminat tetap pantas mengaitkan setiap kemunculannya dengan lelaki berprofil tinggi. Kehadiran bersama DJ Kidd di khalayak tentunya menambah lagi bumbu cerita cinta artis jelita ini. – MADANI NEWS