Selepas perjalanan jauh dari Colombia, Holgado tiba untuk lengkapkan skuad Harimau Malaya | Madani News

Selepas perjalanan jauh dari Colombia, Holgado tiba untuk lengkapkan skuad Harimau Malaya

Selepas perjalanan jauh dari Colombia, Holgado tiba untuk lengkapkan skuad Harimau Malaya

PENYERANG Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, akhirnya tiba di Malaysia pagi ini selepas menempuh perjalanan jauh dari Colombia.

Ketibaan pemain berusia 30 tahun itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali gus melengkapkan senarai 29 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Peter Cklamovski, bagi aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Holgado dijangka menyertai latihan pasukan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, bekas penyerang Gimnasia La Plata itu mungkin tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Singapura susulan faktor perjalanan jauh, sebaliknya lebih berpotensi digunakan pada separuh masa kedua.

Holgado sebelum ini membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada Jun lalu, meledak satu gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam.

Selain Holgado, antara penyerang lain yang dipanggil Cklamovski ialah Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Joao Figueiredo, Paulo Josue, Romel Morales dan Safawi Rasid. – MADANI NEWS