Tabung Haji sumbang RM10.3 juta kepada Sadaqa House, bantu hampir 1,000 usahawan mikro asnaf dan B40 | Madani News

Tabung Haji sumbang RM10.3 juta kepada Sadaqa House, bantu hampir 1,000 usahawan mikro asnaf dan B40

Tabung Haji sumbang RM10.3 juta kepada Sadaqa House, bantu hampir 1,000 usahawan mikro asnaf dan B40
Bangunan Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh usaha memperkasakan ekonomi ummah apabila menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10.3 juta kepada Sadaqa House Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) sejak tahun 2020 bagi membantu hampir 1,000 usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, RM3.8 juta merupakan sumbangan terbaharu tahun ini sebagai tambahan kepada dana awal sebanyak RM6.5 juta yang disalurkan sebelum ini. Sumbangan tersebut menyokong pelaksanaan Program Pembangunan Keusahawanan iTEKAD (iTEKAD BangKIT), yang menyediakan pembiayaan mikro berkonsepkan qardhul hasan, geran perniagaan, serta latihan dan bimbingan keusahawanan.

TH dalam kenyataannya berkata, dana berkenaan telah memberi kesan berganda apabila program itu berjaya menyalurkan pembiayaan melebihi RM12 juta hasil kesan putaran (revolving effect), manakala lebih 35 peratus peserta berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah dalam tempoh setahun selepas menyertai program berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad, berkata sumbangan tersebut mencerminkan komitmen TH dalam memperkukuh kedudukan kewangan umat Islam melalui pendekatan menyeluruh.

“TH yakin bahawa pembangunan ummah perlu dilihat secara holistik, bukan hanya dalam aspek ibadat, tetapi juga pemerkasaan ekonomi. Sumbangan ini adalah pelaburan sosial jangka panjang demi kesejahteraan masyarakat dan keberkatan bersama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik, menzahirkan penghargaan terhadap kepercayaan berterusan TH dalam menjayakan Program iTEKAD.

“Komitmen TH membolehkan kami memartabatkan kewangan sosial Islam seperti sedekah dan zakat sebagai penyelesaian kewangan inklusif yang mampan,” ujarnya.

Antara penerima manfaat program ialah Norzie Nani Md Bahari, pemilik Issnanie Pink Enterprise di Kajang, yang menggunakan bantuan iTEKAD untuk memperkukuh perniagaan jeruk buahnya. Kini, jualannya meningkat sehingga RM1,100 sehari, dengan dua pekerja tetap serta simpanan bulanan sebanyak RM260.

Seorang lagi penerima, Mah Ali, pengusaha MA Jarum Emas di Melaka, berjaya mengembangkan perniagaan jahitan selepas memperoleh pembiayaan mikro iTEKAD. Dana tersebut digunakan untuk membeli mesin sulaman dan memperluas perniagaan kepada pasaran pasukan beruniform, selain melatih empat usahawan baharu dalam komuniti.

Usaha Tabung Haji dan Bank Islam melalui inisiatif ini dilihat seiring dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina ekonomi inklusif, lestari dan berdaya tahan, di samping memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam di negara ini.