Pemain Korea Selatan ungguli Kejohanan Antarabangsa US Kids Golf Malaysia
KUALA LUMPUR – Dominasi pemain Korea Selatan terserlah apabila Woo Sung Sun dan Jiyeon Lee muncul juara keseluruhan lelaki dan perempuan pada Kejohanan Antarabangsa US Kids Golf Malaysia yang berakhir di Kelab Golf dan Rekreasi Tasik Puteri, Rawang, semalam.
Woo Sung Sun, yang beraksi dalam kategori Lelaki 15-18 tahun, mempamerkan prestasi konsisten sepanjang tiga hari saingan apabila mencatat pusingan 69, 72 dan 66 untuk menamatkan kejohanan dengan jumlah 207 pukulan.
Jiyeon Lee pula cemerlang dalam kategori Perempuan 13-14 tahun selepas merekodkan 71, 69 dan 76 bagi keseluruhan 216 pukulan, sekali gus muncul juara keseluruhan wanita. Catatan itu juga lebih baik berbanding pemenang kategori Perempuan 15-18 tahun.
Kategori Perempuan 15-18 tahun dimenangi pemain India, Asara Sawhney, dengan jumlah 222 pukulan hasil pusingan 78, 72 dan 72.
Kejohanan tahunan itu menghimpunkan pemain muda dari 13 negara termasuk Malaysia, Korea Selatan, Jepun, China, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Perancis, England, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.
Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan berkata, kejohanan berkenaan menjadi platform penting untuk pemain remaja tempatan menguji kemampuan menentang pemain antarabangsa selain merebut peluang beraksi di pentas dunia.
Menurutnya, pemain yang mencapai tahap “Priority Status” 11 dan ke atas berpeluang menerima jemputan ke US Kids Golf World Teen Championships serta US Kids Golf World Championships di Pinehurst, North Carolina, Amerika Syarikat pada Ogos ini.
“SportExcel melihat kejohanan ini sebagai medium pembangunan bakat akar umbi seawal usia lima tahun, selain membantu pemain elit negara menempatkan diri ke kejohanan antarabangsa lain,” katanya.
Beliau turut menjelaskan program pembangunan itu kini diperluaskan menerusi penganjuran 12 kejohanan One-day Local Tour di Zon Utara dan Zon Tengah.
Seramai 88 pemain golf remaja berusia lima hingga 18 tahun layak ke pusingan akhir edisi kali ini dengan penyertaan seimbang antara pemain tempatan dan antarabangsa. – MADANI NEWS
