Penyanyi, Kael sah peluk Islam
PENYANYI dan pelakon, Kael berkongsi berita gembira apabila dirinya sah memeluk agama Islam.
Kael atau nama sebenarnya, Michael Lean berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik di Instagramnya, hari ini.
Dalam hantaran video itu, Kael dilihat melafazkan dua kalimah syahadah sebelum sah memeluk agama Islam.
“Alhamdulillah” tulisnya di ruangan kapsyen. Dalam pada itu, pelantun lagu Angkasa itu hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk urusan pengislamannya yang turut ditemani teman wanitanya, Engku Sulwani bersama beberapa rakannya yang hadir sebagai saksi.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis menzahirkan rasa syukur selain mengucapkan tahniah kepada Kael atas penghijrahannya sebagai saudara baharu Islam.
“Alhamdulillah, tahniah,” tulis warga net. “Allahu Akbar! Alhamdulillah,” tulis netizen.
Terdahulu, Kael mengesahkan dirinya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Engku Sulwani selepas setahun mengenali hati budi masing-masing.
Kael turut mendedahkan sebelum ini dia sedang mendalami ajaran Islam sebagai persiapan sebelum memeluk agama tersebut selain merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama Engku Sulwani.
