Batal Hawk: Mindef buka tender baharu sewa helikopter, ambil kira titah Agong – Khaled

KEMENTERIAN Pertahanan membuka tender baharu bagi penyewaan empat helikopter untuk kegunaan pasukan udara tentera darat selepas pembatalan penganugerahan terdahulu kepada sebuah syarikat yang gagal menunaikan penghantaran empat helikopter Black Hawk itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tender baharu yang akan ditutup pada September akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk jenis helikopter, usia aset, harga sewaan, jangka hayat operasi serta tahap keselamatan penerbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Tender untuk penyewaan empat helikopter bagi penggunaan Tentera Darat sudah dibuka dan kita akan tengok masa penilaian, supaya kita ambil kira pandangan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Kota Tinggi, menurut Bernama.
November tahun lalu Kementerian Pertahanan menyatakan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum ini memenangi tender itu selepas gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan, walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober tahun lepas.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin ditemui pemberita di Kota Tinggi, hari ini. (Gambar Bernama)
Khaled berkata, kementerian mengambil tindakan tegas dengan mengenakan penalti serta menarik balik wang jaminan yang diserahkan daripada syarikat berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun dibatalkan, mengambil kira faktor usia dan tahap keselamatan pesawat terbabit yang dikhuatiri boleh mengancam nyawa juruterbang.
Sementara itu, mengenai insiden pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia F/A-18D Hornet yang musnah sepenuhnya akibat insiden di Pangkalan Udara Kuantan baru-baru ini, beliau memaklumkan sebuah lembaga siasatan khas ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata, pesawat jenis sama digantung operasi buat sementara waktu sehingga hasil siasatan diperoleh, bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.
“Daripada lapan pesawat Hornet, kini hanya tujuh beroperasi. Kita mahu pastikan aspek keselamatan diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana juruterbang dan kru terselamat dalam insiden berkenaan, serta menyeru semua pihak memberi ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan kerja mereka dengan teliti. – MADANI NEWS