23 NGO gesa kerajaan batal lawatan Trump ke Malaysia, rancang adakan himpunan protes

SEKUMPULAN 23 NGO menggesa kerajaan agar membatalkan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean 2025.
Mereka turut menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai himpunan protes yang akan diadakan pada 6 September ini, dengan menyatakan mereka membantah keras lawatan Trump atas peranan AS dalam genosid berterusan Israel terhadap Palestin.
Dalam kenyataan bersama malam tadi, mereka menegaskan Malaysia telah mengambil pendirian moral yang jelas menentang “bencana kemanusiaan” di Gaza.
Mereka turut menyenaraikan rekod dan dasar Trump yang dilihat membuktikan sikap “tidak peduli” terhadap nyawa rakyat Palestin serta “penglibatan langsung” dalam membolehkan keganasan terhadap Palestin.
Justeru, mereka berkata langkah mengalu-alukan kedatangan Trump ke Malaysia “bukan sahaja tidak wajar, malah amat menghina”.
“Trump memberi sokongan tanpa syarat terhadap genosid berterusan Israel di Gaza. Setakat ini, sekitar 62,000 orang awam telah terbunuh, termasuk hampir 20,000 kanak-kanak.
“Wang, kelengkapan ketenteraan dan perlindungan diplomatik terus disalurkan oleh Trump bagi menggerakkan genosid, termasuk menyebabkan jutaan rakyat Palestin yang tidak berdosa kebuluran,” kata kenyataan itu.
Mereka turut merujuk kepada “Pelan Damai” Trump, yang menurut mereka membayangkan pengilhakan rasmi wilayah Palestin yang diduduki serta membenarkan cccc penempatan haram.
Trump juga memotong dana penting kepada Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) – yang dianggap sebagai talian hayat jutaan rakyat Palestin – sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan, kata mereka.
“Trump secara unilateral mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS ke sana, menjejaskan isu status akhir serta melanggar konsensus antarabangsa.
“Trump turut menjadi perantara Perjanjian Abraham yang menormalisasikan hubungan Israel dengan beberapa negara Arab tanpa menuntut penamatan penjajahan atau perlindungan hak Palestin, sekali gus memberi lampu hijau kepada Israel untuk terus menindas dengan sewenang-wenangnya,” tegas mereka lagi.
Menyifatkan Trump bukanlah seorang pendamai, sebaliknya “pendokong apartheid dan keganasan”, kumpulan NGO itu berkata tindakan mengundangnya adalah pengkhianatan terhadap solidariti Malaysia dengan Palestin dan mencemarkan integriti diplomatik negara.
“Tiada perlu karpet merah (untuk Trump), tiada sambutan rasmi, dan tiada platform untuk seorang tokoh yang legasinya begitu rapat dengan penderitaan rakyat Palestin,” kata mereka lagi.
Antara NGO yang menandatangani kenyataan itu ialah Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Palestine Centre of Excellence, Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin, serta Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Turut menyatakan sokongan ialah Centre for Human Rights Research & Advocacy (Centhra), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), dan Mandiri.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Trump telah memberi komitmen untuk hadir ke Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Selaku pengerusi Asean, Malaysia menjadi tuan rumah bagi sidang tersebut. – MALAYSIAKINI