Othman Hafsham masih berasa kesal tidak sempat berkarya dengan P. Ramlee | Madani News

Othman Hafsham masih berasa kesal tidak sempat berkarya dengan P. Ramlee

Othman Hafsham masih berasa kesal tidak sempat berkarya dengan P. Ramlee

LEBIH enam dekad mencurahkan bakti dalam dunia seni, nama Othman Hafsham bukan asing bagi penggemar filem tempatan. Beliau dikenali sebagai antara pengarah paling berpengaruh tanah air dengan deretan karya ikonik yang masih segar dalam ingatan peminat hingga kini.

Namun di sebalik pencapaian cemerlangnya, tersimpan satu kekesalan yang tidak pernah padam — tidak sempat merealisasikan impian untuk berkarya bersama seniman agung Tan Sri P. Ramlee, insan yang amat dikaguminya sejak awal pembabitan dalam industri seni.

Dalam nada tenang, Othman Shamsuddin, kini berusia 85 tahun, mengenang detik pertemuannya dengan P. Ramlee ketika beliau bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar tahun 1960-an. Katanya, pertemuan itu menjadi antara kenangan paling berharga dalam hidupnya.

“Ketika itu, arwah sering datang ke RTM untuk berurusan dengan penerbit Zainuddin Nordin. Bilik saya pula bersebelahan dengan bilik Zainuddin, jadi setiap kali beliau datang, kami sempat berbual dan pernah berbincang untuk hasilkan rancangan baharu. Malangnya, hasrat itu tidak kesampaian kerana beliau meninggal dunia,” katanya.

“Saya amat menantikan peluang berlakon bersamanya. Tapi saya tak sempat mencapainya. Saya hanya dapat persahabatan beliau, bukan kerjasama dalam seni. Itu penyesalan terbesar saya,” katanya ketika ditemui dalam Sesi Apresiasi Tokoh Perfileman sempena Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) di FINAS baru-baru ini.

Program tersebut turut menampilkan seniwati Ruminah Sidek dan personaliti TV Ahmad Fedtri Yahya sebagai moderator, serta dihadiri Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.

Mula aktif sejak tahun 1962, Othman mencipta nama melalui filem seperti Adik Manja, Mekanik, Rahsia, Ujang, dan Driving School, selain siri komedi legenda Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang kekal menjadi tontonan kegemaran rakyat Malaysia. Walaupun sering dilihat serius, beliau mengakui hatinya dekat dengan dunia komedi.

“Saya orangnya serius, tapi saya minat komedi sebab saya suka menghiburkan orang. Itulah rahsia hidup saya,” ujarnya yang pernah menuntut di London Film School dan Guildhall School of Music and Drama, London, memetik laporan Bernama.

Menurut Othman, kejayaan komedi bukan terletak pada lawak spontan semata-mata, tetapi pada kefahaman dan disiplin lakonan. Justeru, beliau lebih gemar memilih pelakon berlakon komedi berbanding pelawak, kerana menghormati struktur skrip asal. “Kalau saya ambil pelawak, mereka suka tambah dialog sendiri. Tapi bagi saya, itu boleh rosakkan penulisan asal skrip,” katanya.

Antara pelakon komedi yang paling dikaguminya ialah Allahyarham Zami Ismail dan Allahyarham Ahmad Busu, yang disifatkannya sebagai pelakon teater berdisiplin dan memahami struktur komedi dengan mendalam. Walaupun kini jarang turun ke set, semangatnya tidak pernah padam. “Niat hati masih ada, tapi badan sudah tak larat. Fikiran kata ya, tapi tubuh tak mampu,” katanya, yang kali terakhir mengarah filem Karipap Karipap Cinta lebih sedekad lalu.

Beliau turut mengakui sering menerima tawaran sebagai pensyarah jemputan, namun terpaksa menolak atas faktor kesihatan. “Ramai datang menawarkan, tapi saya dah tak mampu. Saya sangat suka mengajar, tapi saya tahu batas diri saya,” katanya mengakhiri bicara dengan penuh rendah hati.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews