Gelombang larangan vape: Kesedaran negeri-negeri meningkat – Pengusaha ‘bersilat’ menegakkan ‘benang basah’

PENGUMUMAN kerajaan Melaka untuk mempertimbangkan pengharaman penjualan vape menandakan perluasan gelombang larangan terhadap rokok elektronik di peringkat negeri. Selepas langkah lebih awal diambil oleh Johor, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Melaka menjadi negeri terkini yang menunjukkan keseriusan dalam menangani peningkatan penyakit paru-paru berkaitan penggunaan vape, selepas Kedah dan Selangor juga bersependapat demikian.
Menurut Exco Kesihatan Melaka, Ngwe Hee Sem, peningkatan kes kesihatan yang dikaitkan dengan vape di negeri itu mendorong Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka membawa isu ini ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Ia dilihat sebagai langkah proaktif ke arah melindungi kesihatan awam, apatah lagi laporan perubatan kebelakangan ini menyaksikan peningkatan penyakit seperti bronchiolitis, radang paru-paru, dan sindrom pernafasan akut yang dikaitkan dengan penggunaan vape secara kronik, terutama dalam kalangan remaja.
Langkah Johor pada 2016 untuk mengharamkan penjualan vape, khususnya dengan larangan nikotin cecair, menjadi titik permulaan bagi negeri-negeri lain meneliti pendekatan sama. Kelantan, Terengganu dan Perlis pula menggunakan pendekatan berasaskan garis panduan agama, dengan mufti negeri mengharamkan penggunaan vape yang disifatkan memudaratkan. Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sebelum ini juga menyuarakan kebimbangan, dan tidak mustahil akan turut menyertai langkah lebih tegas selepas Melaka.
Haramkan Vape tingkatkan pasaran gelap? Maka, dadah pun kena halalkan juga la..
Seperti yang dijangka, setiap kali larangan dibincangkan, industri vape akan mengangkat naratif “larangan hanya menggalakkan pasaran gelap”. Namun hujah ini adalah putar belit klasik yang sudah lapuk. Industri tidak boleh mengugut kerajaan dengan bayangan akan wujudnya penjualan haram jika kawalan diperketat. Adakah kita juga harus menghalalkan dadah hanya kerana risau akan penjualannya di lorong gelap? Nampak sangat pengusaha vape sedang ‘menegakkan benang basah’.
Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab kepada kesihatan awam, bukan kepada keuntungan pemain industri yang sering menunggang naratif ekonomi dan pekerjaan. Lagipun, ketegasan dasar dan penguatkuasaan yang konsisten – seperti yang ditunjukkan dalam kes pengharaman arak haram dan rokok seludup – membuktikan bahawa penyelesaian jangka panjang bukan dengan membiarkan bahan berbahaya dijual terbuka, tetapi melalui pendidikan, penguatkuasaan dan penggubalan undang-undang yang menyeluruh.
Naratif Pro-Vape: Analogi yang Menyesatkan
Lebih mengecewakan, terdapat pihak tertentu dan individu berpengaruh yang mempertahankan vape dengan menyatakan bahawa “vape bukan satu-satunya pembunuh – rokok, alkohol dan gula juga membunuh tetapi tidak diharamkan”. Ini adalah logik songsang.
Pertama, kehadiran produk berbahaya lain bukanlah alasan untuk membiarkan produk berbahaya baru terus berleluasa. Kedua, rokok dan alkohol sendiri sudah dikenakan kawalan ketat dari segi cukai, iklan, umur pembeli dan lokasi penjualan – dan bahkan telah diklasifikasikan sebagai produk racun. Malah, vape yang kini beraroma buah-buahan dan dibungkus seperti gula-gula lebih menggoda golongan muda, menjadikan ia jauh lebih merbahaya sebagai produk permulaan kepada ketagihan nikotin.
Ketiga, gula tidak dihisap ke paru-paru. Analogi sebegini tidak saja dangkal, tetapi berniat memesongkan perhatian rakyat daripada kesan kesihatan yang semakin terbukti secara klinikal akibat penggunaan vape.
Langkah Melaka untuk mempertimbangkan pengharaman vape adalah wajar dan berani. Dalam isu kesihatan awam, kerajaan tidak boleh tunduk kepada tekanan industri atau logik cetek pihak berkepentingan. Jika data klinikal telah membuktikan mudarat, maka tindakan adalah keperluan moral dan dasar.
Negeri-negeri lain harus menyahut langkah ini, bukan sekadar menunggu angka penyakit meningkat. Dan masyarakat harus lebih kritikal terhadap naratif ‘pilihan peribadi’ yang dimainkan industri – kerana dalam isu vape, ia bukan soal kebebasan peribadi semata-mata, tetapi kesan jangka panjang kepada kesihatan awam generasi akan datang.
Alasan vape menjana ekonomi usahawan Melayu juga tidak seharusnya dilayan kerana apalah guna jika kita berjaya atas derita orang lain – bayangkan jika yang terlantar di hospital atau yang menemui ajal itu adalah anak, cucu usahawan Melayu itu sendiri.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews