Seperti dijangka, Nurul Izzah tewaskan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR baharu | Madani News

Seperti dijangka, Nurul Izzah tewaskan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR baharu

Seperti dijangka, Nurul Izzah tewaskan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR baharu

NURUL Izzah Anwar diumumkan sebagai pemenang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti tahun ini, menewaskan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli dengan undian sebanyak 9,803 undi.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selepas selesai pengiraan undi di seluruh negara, yang turut melibatkan undian secara fizikal dan digital. Jumlah undian diperoleh Rafizi tidak diumumkan.

Jawatan Naib Presiden pula diisi oleh Datuk Seri Amirudin Shari (7,955 undi), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (5,895 undi), Datuk Seri Aminuddin Harun @ Tokmin (5,889 undi) dan Chang Lih Kang (5,757 undi) masing-masing menerima jumlah undian yang membuktikan sokongan akar umbi yang kukuh.

Beberapa nama penting turut mengisi barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), di mana Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memperoleh 4,811 undi, diikuti rapat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dengan 4,798 undi Chan Ming Kai (4,753 undi), Gunarajah R. George (4,699 undi) dan Datuk Dr Maszlee Malik (4,694 undi) turut tersenarai dalam kelompok peneraju yang mendapat mandat besar daripada perwakilan.

Sayap Wanita turut menyaksikan kemenangan Fadhlina Sidek sebagai Ketua Wanita PKR dengan 2,890 undi. Beliau disertai oleh Juwairiya Zulkifli dengan 2,760 undi sebagai Timbalan Ketua Wanita.

Manakala Rozana Zainal Abidin (2,610 undi), Loh Ker Chen (2,608 undi) dan Datin Rufinah Pengerang (2,598 undi) sebagai Naib Ketua, membentuk satu pasukan wanita yang berpengalaman dan progresif.

Dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menang tanpa bertanding sebagai Ketua AMK, manakala Izuan Kasim dipilih sebagai Timbalan Ketua dengan 3,339 undi.

Dalam pemilihan yang sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden parti selepas menang tanpa bertanding, menandakan kestabilan dalam kepimpinan tertinggi parti.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews