Pencarian MH370 disambung semula, komitmen Malaysia dalam mencari jawapan dalam tragedi misteri
SELEPAS lebih sedekad tragedi yang menghantui dunia, pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 akan bermula semula pada 30 Disember ini, umum Kementerian Pengangkutan.
Menurut kenyataan hari ini, syarikat Ocean Infinity telah mengesahkan kepada kerajaan bahawa mereka bersedia menyambung operasi pencarian di dasar laut selama 55 hari, dilakukan secara berselang-seli.
Pencarian kali ini akan menumpukan kawasan yang dikenal pasti mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk mengesan pesawat, berdasarkan perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani pada 25 Mac 2025.
Kerajaan menegaskan usaha ini adalah komitmen berterusan Malaysia untuk memberikan jawapan dan penutupan kepada keluarga 239 penumpang serta anak kapal yang hilang pada 8 Mac 2014.
Walaupun pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan pernah dijalankan bersama Malaysia, Australia dan China, pesawat itu masih belum ditemui di selatan Lautan Hindi. Sejumlah serpihan yang disahkan atau dipercayai milik MH370 sebelum ini ditemui di Mozambique, Madagascar dan Pulau Réunion.
— BERNAMA
