PKR mungkin terkubur 10 tahun lagi jika terus berbalah sesama sendiri – Nurul Izzah

“JIKA kita terusbertelagah sesama sendiri, PKR mungkin tinggal sejarah dalam masa lima ke sepuluh tahun.” Itu amaran tegas calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, ketika memberi peringatan keras kepada ahli-ahli parti agar kembali ke landasan perjuangan asal.
Dalam nada penuh keprihatinan, Nurul Izzah menyeru seluruh akar umbi untuk segera menghentikan budaya perpecahan dan memperkuat semangat perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Dalam 24 bulan yang mendatang, kita kena gerakkan satu semangat baru. Apapun yang berlaku pada 23 dan 24 Mei (pemilihan parti), kita kena bangkit dan kita kena kempen supaya kita menangkan parti kita.
“Parti yang tak bersatu, parti yang tak bersama hadapi cabaran mendatang akan mengakibatkan kita hilang dalam lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya dalam program Jelajah Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah di Seremban, malam tadi.
Menggariskan strategi parti, Izzah menegaskan tumpuan kini harus diberi kepada memenangi ’50 kerusi marginal’ — kerusi-kerusi yang memerlukan jentera parti bersatu dan bekerja keras.
“Sasaran 50 kerusi marginal ini dan kerjasama antara satu sama lain, kerana saya tak mahu dalam lima hingga 10 tahun nanti, kita kehilangan apa yang telah kita raih.
“Ini bukan pasal saya, tapi pasal kita. Ini bukan pasal apa yang saya boleh buat, tapi apa kita boleh buat bersama,” katanya di hadapan lebih 300 penyokong yang hadir.
Kecewa Dengan Perbalahan Dalaman
Naib Presiden PKR itu turut meluahkan rasa kecewanya terhadap sistem pemilihan parti yang menurutnya sering mencetuskan perpecahan dalaman.
“Saya sedih… setiap kali pemilihan, kita bergaduh. Kenapa kita tidak boleh lakukan sesuatu yang berbeza kali ini?” soalnya, menggesa agar semua pihak menerima keputusan dengan matang dan bersikap inklusif.
Beliau juga menyambut baik keputusan ibu pejabat parti yang membenarkan kedua-dua pihak — menang dan kalah — untuk terus mengundi, sebagai satu langkah inklusif ke arah pembaharuan politik dalaman.
Nurul Izzah menutup ucapannya dengan seruan kuat agar jentera parti memulakan gerakan besar-besaran dalam masa 24 bulan menjelang PRU, dengan berpaksikan suara akar umbi.
“Yang saya sedih, kritikan utama saya kepada sistem pemilihan adalah kerana kita selalu bergaduh antara satu sama lain. Mungkin kali ini kita boleh lakukan sesuatu yang berbeza.
“Lebih-lebih lagi apabila pihak ibu pejabat dah putuskan yang menang dan kalah — dua-dua ada hak
mengundi. Hari ini kita membuat keputusan, apapun berlaku, kita kena hargai parti kita,” katanya.
“Saya mohon kembali kepada suara akar umbi, beri peluang supaya kita mulakan gerakan ini. Saya mohon kita lancar dan kita gerakkan dalam 24 bulan sebelum PRU akan datang,” katanya.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews