Lantik syarikat fahami prinsip Islam laksanakan penjenamaan semula TH – Hamzah

”Kita tak persoalkan dia nak bagi pada siapa. Yang kita persoalkan, carilah candidate atau syarikat yang faham prinsip Islam. Dia tidak boleh ambil syarikat yang tak pernah pergi haji langsung, ahli lembaga dia tak pernah pergi haji, lepas tu dia nak ‘rebranding’ Tabung Haji.” – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
PROSES penjenamaan semula (rebranding) Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilaksanakan oleh syarikat atau konsultan yang benar-benar memahami prinsip Islam dan mempunyai pengalaman berkaitan ibadah haji.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary sebelum ini, namun isu sebenar bukan mengenai siapa yang dilantik, sebaliknya pemilihan calon atau syarikat itu mesti benar-benar faham prinsip Islam.
“Kita tak persoalkan dia nak bagi pada siapa. Yang kita persoalkan, carilah candidate atau syarikat yang faham prinsip Islam. Dia tidak boleh ambil syarikat yang tak pernah pergi haji langsung, ahli lembaga dia tak pernah pergi haji, lepas tu dia nak ‘rebranding’ Tabung Haji,” kata pada sidang media di Parlimen hari ini, lapor harakahdaily.net
Hamzah berkata, konsultan yang dipilih sepatutnya mempunyai pengalaman sebagai jemaah haji, malah memahami sepenuhnya sistem serta kesusahan yang dilalui oleh penyimpan dan bakal haji.
“Kalau rebranding, you must understand bermula daripada bawah lagi. Dia kena buat audit. Audit ini termasuklah bagaimana mereka yang menabung di Tabung Haji ini, bagaimana cita-cita dia nak pergi haji itu satu.
“Kedua, mereka nak keselesaan nak pergi haji. Semua ini audit yang patut dilakukan oleh konsultan yang dia sendiri dah pergi haji, yang dia sendiri dah ikut Tabung Haji pergi haji. Jadi biarlah kita berikan kepada orang yang faham,” tegasnya.
Menurut beliau, aspek komunikasi juga perlu diberi keutamaan kerana Tabung Haji adalah khusus untuk orang Islam, dan konsultan yang dilantik perlu mampu menjawab persoalan secara langsung.
“Kalau dia nak buat communication ini untuk siapa? Tabung Haji ni untuk orang Islam. Kalau dia nak berjumpa town hall sebagai contoh, bila orang persoalkan dia, apakah dia boleh jawab?
“Oh dia kata nanti jawapan dia mudah, dia panggil pegawai-pegawai Tabung Haji, then where must you be appointed as a consultant? Itu cerita kita,” soalnya.
Hamzah menegaskan, pembangkang tidak menolak penjenamaan semula Tabung Haji, namun mahu ia dilaksanakan oleh pihak yang benar-benar memahami prinsip Islam.
“Kita kata nak buat rebranding, okay, appoint lah mereka yang tahu tentang kedudukan orang-orang yang nak pergi haji susah payahnya. Kadang-kadang orang ni simpan berpuluh tahun.
“Bagaimana mereka ni dia kena faham orang yang nak simpan ni macam mana strategi strategi ini harus ada dengan semua ahli lembaga pengarah syarikat yang nak diberikan kontrak untuk rebranding ini. Yang ini yang kita persoalkan.
“Kita tidak persoalkan tentang bab lain. Kalau pun dia bukan orang Melayu, tetapi dia orang Islam, carry on. Saya tak persoalkan tentang ini Melayu, Cina atau India.
“Yang saya persoalkan, biarlah konsultan itu tahu prinsip Islam dan boleh dia bercakap tentang audit boleh dia cakap tentang komunikasi boleh dia bercakap semua keseluruhannya bagaimana nak rebranding Tabung Haji,” tegasnya.