PAS rangka tiga projek utama hadapi PRN dan PRU16 – Sanusi

ALOR SETAR – PAS melancarkan tiga projek utama sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Johor dan Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada akhir 2026.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek berkenaan ialah “KK Satu” bagi PRN Sabah, “Rancangan 365” untuk PRN Johor dan Melaka, serta “Projek P500” khusus bagi menghadapi PRU16.
Beliau menegaskan, pelaksanaan ketiga-tiga projek itu memerlukan penglibatan menyeluruh meliputi semua peringkat parti termasuk cawangan, kawasan, dewan dan negeri.
“Tempoh pelaksanaan bermula September 2025 hingga Disember 2026. Semua perancangan ini dibuat supaya gerak kerja PAS lebih terarah dan menepati sasaran,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sebelum ini PAS telah mengadakan latihan pilihan raya kepada lebih 2,000 petugas jentera seluruh negara, meliputi aspek strategi politik, tarbiyah dan dakwah.
Menurutnya, rakyat kini semakin menaruh harapan kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui perubahan dalam pentadbiran negara selepas pencapaian parti itu di negeri-negeri yang diperintah.
“Kita ada ‘core business’ iaitu siasah, dan ia perlu dikuasai dengan baik. Apabila kita mantap dalam urusan politik, dakwah dan tarbiyah juga akan lebih mudah dilaksanakan,” ujarnya. – MADANI NEWS