Selepas dipecat, tiga ADUN Perlis mohon sertai PAS semula
PETALING JAYA: Majlis Syura Ulama PAS menerima permohonan tiga Adun Perlis yang ditamatkan keahlian lebih sebulan lalu, menyertai parti itu semula.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya dalam catatan Facebooknya hari ini.
“Majlis Syura Ulama menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan sebab ia bukan dalam bidang kuasanya,” katanya yang juga ketua Dewan Ulama PAS.
“(Kami) menerima borang permohonan ahli baharu PAS daripada tiga mantan Adun tersebut dan diserah kepada setiausaha agung PAS untuk pertimbangan PAS Pusat.”
PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana bersama lima wakil rakyat Bersatu menandatangani akuan berkanun menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin ketika dihubungi FMT mengesahkan Majlis Syura Ulama sudah menerima permohonan tiga wakil rakyat itu yang akan diserahkan kepada PAS Pusat untuk dimuktamadkan.
Pada 25 Jan lalu, Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dilaporkan berkata, tiga Adun itu tidak dipecat melalui proses tatatertib, tetapi status keahlian mereka terhenti mengikut peruntukan Perlembagaan parti.
Justeru, katanya, status mereka muktamad dan tidak boleh dirayu semula. – AGENSI
