Pemandu e-hailing diseru sertai perhimpunan aman menuntut keadilan pada 1 Mei ini
KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing diseru untuk menyertai Perhimpunan dan Perarakan Aman Pemandu E-Hailing 2026 di Dataran Merdeka pada Jumaat ini sebagai tanda solidariti menuntut keadilan terhadap isu tambang yang semakin menekan.
Pengerusi Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia (GBBSEM), Zulkifli Othman berkata, penyertaan pemandu amat penting bagi menghantar mesej jelas kepada kerajaan agar melaksanakan kawalan harga tambang lantai demi melindungi kebajikan pemandu.
“Tidak logik apabila kos sara hidup terus meningkat, tetapi tambang e-hailing semakin menurun. Mengapa pemandu terus diperah oleh syarikat-syarikat asing yang mengaut keuntungan saban tahun, sedangkan tambang teksi boleh pula dikawal?
“Pemandu perlu bersolidariti dan bangkit menuntut keadilan. Kita hanya mahu mencari rezeki halal untuk menyara keluarga — berikan tambang yang adil dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan sempena Hari Pekerja itu merupakan sebahagian daripada acara tahunan anjuran Gabungan Marhaen, dengan penyertaan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kesatuan sekerja.
Menurut beliau, perhimpunan sabah tahun tersebut berlangsung secara aman, tertib dan teratur dengan pemantauan pihak Polis Kuala Lumpur, sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada semua peserta.
“Pemandu tidak perlu bimbang untuk hadir kerana ini adalah hak untuk bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan keberkesanan peruntukan subsidi minyak kepada pemandu yang didakwa tidak memberi manfaat sebenar, malah berkemungkinan dimanfaatkan oleh syarikat operator e-hailing. Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap sikap Kementerian Pengangkutan yang dilihat seakan memihak kepada operator.
Mengulas perkembangan terkini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata isu tambang e-hailing, termasuk cadangan harga minimum, akan diteliti secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), termasuk aspek komisen dan struktur harga industri.
Bagaimanapun, Zulkifli menegaskan bahawa pendekatan rundingan berpanjangan tidak lagi relevan dalam situasi semasa yang mendesak.
“Perbincangan SEGiM tidak akan memberi manfaat segera kepada pemandu yang sedang terhimpit. Kami menuntut pelaksanaan harga lantai secara serta-merta, bukan menunggu kajian berbulan-bulan yang akhirnya hanya menguntungkan syarikat platform,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa memorandum berhubung isu tersebut telah diserahkan di Parlimen sejak dua tahun lalu, namun sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil, dengan alasan berulang bahawa harga ditentukan oleh mekanisme permintaan dan penawaran serta algoritma. – MADANI NEWS
