JDT sah Juara Liga Super kali Ke-12
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sejarah dengan muncul juara Liga Malaysia (Liga Super) buat kali ke-12 berturut-turut selepas menundukkan tuan rumah Brunei DPMM FC dengan keputusan 3-0 sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawa, skuad kendalian Xisco Munoz hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan gelaran liga. Namun DPMM tampak berazam untuk menangguhkan keraian JDT di laman sendiri.
JDT yang turun dengan kekuatan penuh mempertaruhkan n Bergson da Silva sebagai peledak utama. DPMM pula meletakkan harapan kepada gandingan Jordan Murray, Syafiq Ahmad dan Hakeme Yazid Said untuk merobek gawang pelawat.
Babak pertama menyaksikan JDT mendominasi perlawanan. Dua percubaan jaringan menerusi Ajdin Mujagic dan Antonio Glauder terpaksa dibatalkan pengadil kerana ofsaid selepas semakan semula video (VAR).
Gol yang dinantikan Harimau Selatan akhirnya tiba pada minit ke-33. Sepakan percuma cantik Ager Aketxe dari luar kotak penalti terus merobek gawang DPMM sekaligus meletakkan pasukan pelawat di hadapan 1-0 sehingga rehat.
Memasuki babak kedua, Xisco Munoz melakukan pertukaran dengan memasukkan Marcos Guilherme bagi menambah kekuatan jentera serangan. DPMM cuba membalas tetapi gol Hakeme pada minit ke-55 turut dibatalkan kerana ofsaid.
JDT akhirnya bergerak selesa selepas Oscar Arribas menjaringkan gol kedua pada minit ke-74. Hanya tiga minit kemudian, Marcos Guilherme mengesahkan kemenangan JDT menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.
DPMM terpaksa melengkapkan baki perlawanan dengan 10 pemain selepas Fairuz Zakaria dilayangkan kad merah keduanya musim ini. JDT terus menguasai permainan namun keputusan 3-0 kekal sehingga tamat.
Kejayaan ini merupakan trofi ketiga JDT musim ini selepas Piala Sumbangsih dan Piala FA sekaligus mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara AFC Elit musim depan. JDT kini kukuh di puncak liga dengan 57 mata, 15 mata di hadapan Selangor FC. – MADANI NEWS
